TAHUKAH ANDA – PUNCA & AKIBAT DARI WANITA MEROKOK
ISU mengenai peningkatan wanita merokok kembali menjadi topik perbualan apabila kajian mendapati bilangan wanita yang merokok di negara ini telah meningkat 100 peratus pada 2003 berbanding pada tahun 1996.
Isu merokok kini merupakan masalah global yang boleh memudaratkan sistem kesihatan seluruh tubuh badan, menjejaskan produktiviti dan ekonomi negara.
Di mana sahaja kita pergi ada sahaja wanita yang tidak segan silu merokok di khalayak ramai dan mereka seolah-olah bangga dengan apa yang mereka lakukan. Bagi yang Melayu, ke mana hilangnya adat ketimuran mereka kerana langsung tidak ada sedikit segan atau malu apabila perlakuan mereka diperhatikan oleh masyarakat sekeliling.
Mereka yang merokok bukan sahaja terdiri wanita dewasa sahaja, tetapi kini, pelajar sekolah pun sudah berani berjinak-jinak dengan perbuatan tersebut yang mengundang pelbagai risiko dan juga akibat.
Habis waktu sekolah mereka berkumpul di tempat yang agak tersembunyi dan juga sama-sama merokok. Ada juga yang pada mulanya tidak tahu bagaimana melakukan perkara ini, tetapi apabila mereka menjejakkan diri di institusi pengajian tinggi, mereka mula terpengaruh dengan hasutan rakan sekeliling yang lebih berpengalaman.
Pelbagai faktor menjadi punca dan penyebab kepada pertambahan golongan hawa ini merokok. Salah satu faktor kecenderungan tabiat merokok dikalangan golongan tersebut dikenal pasti berpunca daripada empat faktor utama iaitu fisiologi, sosial, psikologi dan juga persekitaran.
Faktor fisiologi yang menjadi penyebab kepada gejala wanita merokok ialah perkara ataupun alasan yang tidak munasabah dikalangan wanita iaitu merokok dapat mengurangkan berat badan dikalangan wanita yang mementingkan penampilan mereka.
Ekoran kepercayaan di kalangan wanita Malaysia bahawa puntung rokok itu dapat membantu mereka mengekalkan bentuk badan dan menghalang mereka daripada menambah berat badan.
Rata-rata wanita Malaysia percaya bahawa merokok boleh mengawal selera, jadi mereka dapat mengawal pengambilan makanan dan mengawal berat badan mereka dan boleh mengekalkan kecantikan dan bentuk badan, tanpa mengetahui bahawa merokok boleh menjejaskan kulit mereka.
Selain itu, faktor psikologi yang dikaitkan dengan merokok ialah perkara berkaitan imej, ketagihan nikotin serta menangani persaan rendah diri dengan cara mengasingkan diri dari orang ramai dan menjadikan rokok sebagai teman di kala diri penuh masalah serta dilema.
Manakala faktor lain pula ialah persekitaran dan sosial atau lebih kepada terpengaruh dengan pengaruh luar dan rakan sebaya yang menyumbang untuk golongan wanita ini merokok.
Ia sudah menjadi trend golongan wanita hari ini mahu memperjuangkan persamaan taraf itu. Ini bermakna mereka mahu meletakkan diri mereka setaraf dengan lelaki. Golongan wanita percaya dengan merokok, taraf mereka sama dengan golongan lelaki. Bagi mereka, jika wanita boleh melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh lelaki, ia merupakan satu kebanggaan.
Merokok dikalangan wanita sebenarnya memberikan kesan yang teramat buruk dikalangan wanita dan kesan jangka panjang. perokok wanita mempunyai kadar lebih tinggi untuk dijangkiti kanser paru-paru, payu dara, servik dan kolon serta kadar kesuburan 30 peratus lebih rendah berbanding wanita yang tidak merokok.
Pelbagai jenis penyakit timbul berpunca daripada asap yang mengandungi 4,000 bahan kimia berbahaya kepada jantung, terutama nikotin dan karbon monoksida itu. Wanita yang merokok akan menjejaskan kesihatan mereka dan juga penyumbang kepada penyakit kronik seperti barah payudara, barah rahim, dan sebagainya.
Begitupun, gambaran itu masih tidak cukup untuk menakutkan seorang perokok untuk mengurangkan jauh sekali meninggalkan tabiat berbahaya tersebut. Mereka tidak pernah takut dengan ancaman itu, malah langsung tidak menghiraukan sebarang risiko yang akan mereka hadapi untuk jangka masa panjang.
Seorang perokok yang mengambil lebih daripada 20 batang sehari, akan menghadapi 10 hingga 15 kali ganda risiko maut akibat serangan jantung jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.
Ukuran sebatang rokok yang dihisap ialah 0.5 cm dah jika 20 batang yang dihisap sehari akan bersamaan panjang satu meter. Jika seorang perokok itu merokok lebih banyak dan terlalu berat, semakin panjang batang rokok yang mereka ambil, maka semakin pendek umur mereka akibat penyakit yang diundang dalam sedar.
Kajian yang ditulis dalam Jurnal Institut Kanser Amerika Syarikat menyatakan bahawa wanita yang merokok mempunyai risiko terlalu tinggi mengidap penyakit kanser.
Selasa, 13 Julai 2010
MASALAH REMAJA MEROKOK
Dicatat oleh arety di 7:59 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan